Saturday, August 20, 2011

Merapatkan saf...kenapa hanya segelintir yang ambil kisah?

Kejadian yang biasa berlaku di surau atau di masjid semasa bersolat secara berjemaah.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang membolehkan diri ini untuk menunaikan ibadah puasa, solat sunat dan bermacam –macam lagi bentuk ibadah yang dapat mendekatkan diri ini kepada Allah. Namun, setelah beberapa hari saya bersolat berjemaah di masjid mahupun surau yang berdekatan, ada satu perkara yang sangat merunsingkan hati dan perasaan saya sehingga kadang-kala menggangu kekusyukkan saya ketika bersolat, iaitu berkenaan dengan cara kita merapatkan saf semasa solat.

Baiklah, mungkin ada sesetengah pembaca mempersoalkan kenapa saya begitu mengambil berat akan hal yang remeh-temeh ini. Untuk pengetahuan anda, bab merapatkan saf bukanlah hal yang perlu diambil secara tidak serius. Dalam ayat yang lebih pendek, merapatkan saf adalah amat penting! Kalau tak percaya, cuba anda google ‘dalil tentang merapatkan saf’ atau bacalah blog-blog pelajar fiqh seperti di blog* ini (http://al-ehsaniah.blogspot.com/2010/11/perintah-dan-tuntutan-merapatkan-saf.html). Untuk mempertikaikan keutamaan menjaga saf, saya akui saya bukanlah orangnya, jadi kita perlu bertanya kepada orang yang pakar. Setelah meneliti fakta-fakta dari al-quran dan sunnah, maka saya sebagai muslim yang bertaqlid (hanya mengikut sebab tak mempunyai ilmu yang mendalam, tapi perlu mengetahui nas-nas hadith atas perkara yg ditaqlidkan) telah benar-benar yakin bahawasanya merapatkan saf itu wajib mengikut adab-adab yang telah ditentukan.

Memang tidak dinafikan, ramai dah berbicara tentang kepentingan solat berjemaah, namun berjemaah sahaja tanpa meluruskan saf-saf di dalamnya adalah ibarat meminum teh tarik tanpa susu, hilang lemak dan manisnya yang menjadi igauan si pengunjung setia kedai-kedai mamak. Mari sama-sama kita melihat menggunakan pandangat mata hati kita tentang bagaimana meluruskan saf di dalam solat berjemaah dapat melatih orang mukmin cara- cara berorganisasi.

Pemilihan imam dan peranan imam semasa solat berjemaah sudah cukup untuk mengajar kita kepentingan untuk memilih pemimpin yang betul. Imam yang dipilih, bukan calang-calang orangnya. Dia mestilah lebih berilmu pegetahuan, pandai membaca al-quran dengan betul dan pelbagai lagi kriteria penting untuk menjadi imam. Di dalam solat berjemaah, imam juga biasanya bertanggung jawab memastikan saf-saf di belakangnya rapat dan penuh.

“Dahulu Rasullullah meluruskan saf kami sehingga sampai seperti meluruskan anak panah hingga beliau memandang kami telah faham apa yang beliau perintahkan kepada kami (sehingga saf kami telah rapi – pent.), kemudian suatu hari beliau keluar (untuk solat) kemudian beliau berdiri, hingga ketika beliau akan bertakbir, beliau melihat seseorang yang dadanya terkehadapan, maka beliau bersabda: “Wahai para hamba Allah, hendaklah kalian benar-benar meluruskan saf atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian”. (Diriwayatkan oleh Muslim)

Jadi jelaslah di sini peranan seorang pemimpin untuk terus involve ataupun membetulkan pengikut di bawahnya sehingga semua jelas dan mengikuti suruhannya dan bukan hanya bercakap tanpa meng-update atau memastikan yang lain melakukan apa yang disuruh.

Peranan makmum di dalam solat berjemaah juga dapat menunjukkan satu contoh yang baik untuk kita ikuti tentang bagaimana untuk menjadi seorang rakyat muslim yang baik.Sekiranya ada ruang kosong semasa solat berjemaah, orang di sekitarnya perlu bergerak sedikit untuk menutup ruang kosong tersebut. Hal ini mengajar kita untuk alert dan sentiasa mengambil kisah perkara yang berlaku di sekitar kita, dan terus mengambil langkah yang sesuai untuk membanteras perkara yang tidak patut berlaku di dalam masyarakat. Ini juga menunjukkan yang kita perlu concern, taat kepada pemimpin, ambil kisah, dan sampai satu tahap, membetulkan kesilapan imam dan tidak mengikuti kesalahan yang dilakukannya semasa solat. Kalau imam lupa, seseorang perlu bertasbih menegurnya, kalau imam silap baca, orang yang ingat akan sambung untuk membantu imam dan banyak lagi. Kesimpulannya, walaupun kita hanyalah seorang makmum atau pengikut, kita perlulah mengambil peranan masing-masing di dalam masyarakat dan tidak hanya membiarkan pemimpin dalam menyusun sesebuah masyarakat.

Bagaimana kalau tidak kusyuk time solat sebab bergerak? Baiklah, ini satu persoalan yang perlu di jelaskan. Apakah makna kusyuk di dalam solat sebenarnya? Adakan bermaksud kita tidak mendengar apa-apa suara? Tidak melihat atau pun aware dengan keadaan sekeliling? Sekiranya inilah maksudnya kusyuk itu, maka adalah sangat mustahil untuk kita lakukan. Sedangkan Rasullah pun pernah mendukung Usamah semasa solat, jadi apakah kusyuk sebenarnya? Mengikut kebanyakkan pendapat ilmuan islam, kusyuk di dalam solat antaranya adalah apabila kita memahami dan sedar tentang makna setiap perkataan yang kita katakana semasa solat. Ada yang berpendapat, ianya seolah-olah kita berdialog dengan Allah (ingatnya, seolah-olah). Kalau lah kita tak aware dengan keadaan sekeliling , macam-mana nak betulkan bacaan imam yang dah salah, nak ikut imam tunduk atau rukuk, semua ni memerlukan kita untuk memerhatikan keadaaan sekeliling. Firmah Allah:

"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)? Dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang telah menerima Kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras, dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik." [QS Al-Hadid, 57:16]

Jadi, tidak bermaksud untuk kusyuk, kita tidak boleh mendengar melihat dan aware dengan keadaan sekeliling kita. Cumanya, kita mesti faham dan mempunyai ilmu pengetahuan tentang Al-Quran, asbabun nuzul ayat, bahasa arab, sirah rasullah dan sebagainya untuk lebih kusyuk dalam memahami ayat-ayat Allah semasa solat dan melaksanakan suruhan Allah tersebut di luar solat.

Jadi, wahai sahabat seislam sekalian, mungkinkah perkara atau masalah sosial yang berlaku disekeliling kita adalah disebabakan kelalaian kita untuk melaksanakan amal makruf nahi mungkar? Membiarkan jiran-jiran kita berlapar? Membiarkan anak-anak muda yang sudah terlanjur begitu sahaja malah mengeji mereka tanpa berasa kasihan dan membimbing mereka kembali ke pangkal jalan? Membiarkan sahabat kita melakukan kemaksiatan? Membiarkan pemimpin kita melakukan kemungkaran dan tidak menegur mereka dengan ikhlas kerana ingin mentaati perintah Allah? Mungkinkah selagi saf-saf di masjid-masjid dan di surau –surau di Malaysia ini tidak di jaga dan dirapatkan seperti mana di anjurkan oleh nabi Muhammad, maka selagi itulah kita tidak dapat membina sebuah masyarakat islam yang sempurna? Semua perkara ini perlu kita fikirkan kembali dengan bersumberkan dan berlandaskan Al-quran dan sunah rasulnya. Wallahu A’lam.

No comments:

Post a Comment